Isnin, November 10

Kasih ibu sampai ke mati





Kuala Terengganu: Demi kasih sayang ibu, seorang wanita sanggup mengorbankan 
nyawanya dengan menolak anak lelakinya ke tepi jalan dan membiarkan dirinya 
dirempuh sebuah motosikal di Jalan Pasir Panjang di sini, pagi ini.
Dalam tragedi menyayat hati itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK
) Pasir Panjang Muhammad Izzudin Najmi Ibrahim, 12, yang bangkit dari
jatuh hanya mampu melihat jasad ibunya Dayang Che Abdul Kadir, 54, terbaring kaku
di atas jalan tar.Ketika kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, mangsa yang berasal dari
 Kampung Pasir Panjang sedang melintas jalan untuk menghantar
 Muhammad Izzudin ke SK Pasir Panjang selepas singgah minum di sebuah
 warung berhampiran.
Bagaimanapun, ketika melintas jalan tiba-tiba mangsa melihat sebuah
 motosikal ditunggang laju ke arah mereka.
Difahamkan, mangsa yang menyedari kedatangan motosikal itu menolak
anaknya ke bahu jalan sebelum dirinya sendiri dirempuh.
Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh dan kepalanya terhentak
 di atas jalan dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian 
sementara penunggang motosikal, seorang pelajar tingkatan empat hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar 
yang dihubungi mengesahkan kemalangan itu.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1)
 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu
 secara melulu dan membahayakan.




«»

PELAJAR tingkatan empat yang merempuh Dayang turut cedera ringan. FOTO ihsan 


Ahad, November 2

Piala Malaysia: Pahang pertahan mahkota kejuaraan benam JDT


PEMAIN Pahang meraikan kemenangan menjuarai Piala Malaysia 2014 selepas menundukkan JDT, 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto Khairull Azry Bidin
KUALA LUMPUR: Pahang gah mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Perlawanan berlanjutan sehingga ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 tamat masa penuh permainan dan 30 minit masa tambahan turut gagal menghasilkan sebarang gol.
Hadir dengan semangat tinggi, Pahang begitu pun terpaksa bergelut apabila terpaksa beraksi 10 pemain ketika perlawanan masih berbaki 30 minit.
Begitupun, ia tidak melemahkan semangat pemain Pahang malah tidak menerapkan corak permainan bertahan sepenuhnya untuk meledak gol penyamaan.
Pada minit ke-68 perlawanan, Pahang jelas tertekan apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Mohd Saiful Nizam diarah keluar padang kerana mengasari Amri Yahyah.
Begitupun, kekurangan itu tidak melemahkan moral Pahang yang meledak gol penyamaan, dua minit selepas itu menerusi gol kedua Dickson Nwakamae.
Menerusi gerakan yang dibuat Mohd Hafiz Kamal, bola yang dihantar tepat ke kaki Damion Stewart pantas dihalakan kepada Nwakamae yang meledak gol penyamaan Pahang.
Kemenangan turut menyaksikan JDT gagal menamatkan badi ke atas Pahang selepas gagal mencatat kemenangan dalam dua pertembungan musim ini.
Memiliki pemain yang pernah beraksi di pentas final tahun lalu, Pahang kelihatan lebih tenang mengawal permainan dan berjaya melancarkan beberapa serangan ke gawang JDT namun gagal menerjah gol.
Namun keadaan padang yang licin akibat hujan sebelum permainan dilihat agak merencatkan sedikit gerakan kedua-dua pasukan.
Pahang begitupun terlebih dulu di depan seawal minit ke-14 menerusi tandukan penyerang 'besi', Nwakaeme yang menyambut kemas sepakan percuma Azidan Sarudin.
Pahang memperoleh sepakan percuma itu selepas pemain sayap lincah, R Gopinathan dijatuhkan pertahanan JDT, Mahali Jasuli.
Seakan terdesak dengan jaringan Pahang, JDT pantas mengubah kepantasan permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kapten, Safiq Rahim namun berjaya ditampan pertahanan Pahang.
Perlawanan kemudian bertambah panas yang menyaksikan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed terpaksa melayangkan kad kuning kepada Jasazrin Jamaluddin kerana mengasari Gopinathan.
Memasuki minit ke-31 permainan, JDT memperoleh jaringan penyamaan menerusi jaringan penyerang import, Jorge Diaz yang tidak mempersia-siakan kekalutan di depan gawang Pahang dengan meledak masuk gol menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan.
Dan berselang empat minit, JDT dianugerahkan sepakan penalti selepas kapten Pahang, Razman Roslan memegang bola kawasan penalti.
Penalti disempurnakan seorang lagi pemain import JDT, Luciano Figueroa.
Permainan bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling melakukan beberapa cubaan berbahaya namun gagal menambah jaringan.
Memasuki babak kedua, perlawanan tambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
JDT hampir menambah gol ketiga pada minit ke-52 namun cubaan Figueroa terkena tiang sekalipun penjaga gol Pahang, Khairul Azhan sudah pun tertewas.
Gerakan cantik itu yang bermula menerusi Diaz itu gagal disudahkan Figueroa sekalipun hanya berhadapan dengan Khairul Azhan.
Sekalipun JDT jelas mendominasi permainan, tiada tambahan gol berjaya dijaringkan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Pada masa tambahan, Pahang jelas terpaksa lebih bertahan namun tetap berjaya mendapatkan beberapa peluang.
Kali terakhir peminat Johor menikmati nikmat menjulang Piala Malaysia ialah pada 1991 dan bagi Pahang, ia menjadi kejuaraan keempat.
Kali terakhir perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti ialah pada 1998 yang menyaksikan Perak muncul juara dengan membenam Terengganu 5-3 selepas permainan terikat 1-1 tamat masa permainan.
Tahun lalu, Pahang muncul juara buat kali ketiga selepas menewaskan Kelantan 1-0